fb fb fb fb fb

Tiga bekas pemain ragbi Perancis dituduh rogol pelajar

FOTO HIASAN

BORDEAUX, 17 Jun- Tiga orang bekas pemain ragbi Perancis daripada pasukan terkemuka Grenoble dibicarakan di mahkamah hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar selepas perlawanan, tujuh tahun lalu.

Denis Coulson, 30, yang merupakan warga Ireland, Rory Grice, 34, (New Zealand), dan Loick Jammes, 29, (Perancis) dituduh merogol mangsa dinamakan sebagai V. yang kini berusia 27 tahun.

Sementara itu, dua lagi bekas pemain pasukan sama iaitu Chris Farrell, 31, (Ireland), Dylan Hayes, 30, (New Zealand Dylan) dituduh bersubahat kerana tidak mencegah jenayah.

Dalam perbicaraan tersebut, Coulson, Jammes dan Grice mengakui terlibat dalam aksi seks bersama V., tetapi menegaskan kesemua mereka bersetuju.

Peguam mewakili Jammes, Denis Dreyfus pula memaklumkan bahawa perbicaraan harus menjurus kepada kesukaran dalam "menilai" persetujuan apabila "semua pihak mabuk."

"Apa yang pasti ia adalah satu tragedi bagi kedua-dua pihak," katanya.

"Ini bukan perbicaraan pemain ragbi merogol, ia perbicaraan alkohol," kata peguam Corinne Dreyfus-Schmidt, mewakili Coulson.

"Semua anak muda yang minum hingga mabuk berat adalah masalah sebenar dalam kes ini," tambahnya.

Dalam kertas pertuduhan, V. dan dua rakan bertemu pemain Grenoble selepas satu perlawanan di sebuah bar di Bordeaux pada 11 Mac 2017. Kumpulan itu dikatakan telah meneguk koktel termasuk mojitos dan Vodka-Red Bull.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel kemudian menunjukkan mangsa bergelut untuk berdiri ketika Coulson menyokongnya.

Selain itu, tertuduh juga dirakam menghalang mangsa untuk menaiki semula teksi sebanyak dua kali.

V. berkata, dia tidak ingat apa-apa tentang bagaimana malam itu berakhir selepas meninggalkan kelab malam berkenaan. Mengikut pertuduhan, dia menaiki sebuah teksi bersama Coulson menuju ke hotel pemain sekitar pukul 4.00 pagi.

Laporan ahli toksikologi mendapati bahawa V. mempunyai antara 2.2 dan 3.0 gram alkohol per liter darah ketika itu -- lebih 10 kali ganda maksimum yang dibenarkan semasa memandu di Perancis. -AFP

SITI AISHAH MD ISA