GAZA, 15 September - Tujuh bayi maut hanya dalam tempoh seminggu di Kompleks Perubatan Nasser di selatan Semenanjung Gaza, kata petugas kesihatan hospital berkenaan.
Kematian dilaporkan berpunca akibat kekurangan zat makanan yang teruk dalam kalangan wanita hamil, tekanan dan ketakutan yang melampau dan pemindahan paksa.
Ia juga berikutan kelesuan akibat pengeboman berterusan, gangguan bekalan elektrik dan kekurangan ubat yang kritikal.
Antara mangsa ialah empat bayi dalam kandungan yang meninggal dunia dalam kandungan ibu gara-gara keguguran.
Tiga lagi bayi pramatang meninggal dunia ketika dalam inkubator.
Dalam kes berasingan, bayi yang baru dilahirkan meninggal dunia selepas proses bersalin ditangguhkan kerana doktor yang merawat telah dibunuh.
Pihak hospital menekankan keguguran dan kematian bayi pramatang berlaku setiap hari.
Sistem penjagaan kesihatan Gaza berada di ambang kehancuran, diburukkan lagi dengan kekurangan ubat-ubatan penting dan kemudahan perubatan yang berfungsi.
Sejak 2 Mac, zionis Israel telah menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan Gaza, mengakibatkan 2.4 juta penduduk wilayah itu mengalami kebuluran.
Kementerian Kesihatan mendedahkan kematian akibat kebuluran meningkat kepada 422, termasuk 145 kanak-kanak sejak perang tercetus pada 2023.
Secara keseluruhan, lebih 64,700 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan rejim Israel. - REUTERS