KATHMANDU, 15 September - Barisan menteri baharu Nepal selesai mengangkat sumpah, menandakan bermulanya era pimpinan Perdana Menteri interim Sushila Karki.
Proses pelantikan rasmi dibuat di tengah-tengah usaha negara Himalaya itu memulihkan kerajaan selepas protes antirasuah dikendalikan belia menggulingkan kerajaan terdahulu.
Majlis angkat sumpah diadakan di luar bangunan Pejabat Presiden yang musnah terbakar dan disempurnakan Presiden Ram Chandra Paudel kepada tiga menteri utama.
Om Prakash Aryal, peguam bela yang dikenali mahir mengendalikan kes rasuah, tadbir urus dan hak asasi manusia, memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, serta undang-undang, keadilan dan hal ehwal parlimen.
Bekas Pengarah Pihak Berkuasa Elektrik Nepal, Kulman Ghising dilantik menerajui portfolio tenaga, infrastruktur, pengangkutan dan pembangunan bandar.
Seorang lagi yang diberi amanah, Rameshwor Khanal bagi mengendalikan Kementerian Kewangan, dengan tugas mencabar menangani masalah pengangguran.
Satu perlima penduduk di Nepal berusia 15-24 tahun menganggur, menurut Bank Dunia, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita hanya berjumlah AS$1,447.
Terdahulu, bantahan besar-besaran dua hari dibuat rakyat mengorbankan 72 nyawa, dengan 191 masih dirawat di hospital, menurut data dilaporkan kerajaan. - AFP