DOHA, 15 September - Pemimpin dari negara Arab dan Islam, termasuk Malaysia mula berhimpun di sini bagi menyertai sidang kemuncak tergempar.
Sidang Kemuncak bersama Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu diadakan di Qatar bertujuan untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel, sekali gus menoktahkan perang dan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza.
Hamas memaklumkan pegawai tertingginya terselamat ketika serangan Israel yang mengorbankan enam nyawa, minggu lalu di Qatar.
Serangan yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik di Gaza, menjejaskan usaha untuk mencapai keamanan di rantau itu.
"Sudah tiba masanya untuk masyarakat antarabangsa menghentikan sikap pilih kasih dan menghukum Israel atas semua jenayah yang dilakukan," kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani pada mesyuarat prasidang kemuncak.
Selain Mesir dan Amerika Syarikat, Qatar telah mengetuai usaha menjadi pengantara bagi mencapai keamanan di bumi Gaza.
Antara pemimpin yang berhimpun bagi sidang kemuncak berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Palestin Mahmud Abbas.
Turut hadir, Raja Jordan Raja Abdullah II dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
Satu mesyuarat luar biasa melibatkan enam anggota Majlis Kerjasama Teluk juga dijangka diadakan pada Isnin. - AFP