DOHA, 2 APRIL- Tuduhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada agensi berita Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar sebagai "saluran pengganas" disifatkan satu pembohongan berbahaya dan "melucukan" oleh rangkaian berita antarabangsa itu.
Dalam konflik (Israel-Palestin) yang semakin meningkat, Netanyahu melancarkan kempen yang dilihat terburu-buru dengan menuduh Al Jazeera mengancam keselamatan Israel, terlibat dalam serangan 7 Oktober tahun lalu dan menghasut kebencian terhadap tentera Israel.
"Al Jazeera mengecam kenyataan ini dan menganggapnya sebagai satu "pembohongan melucukan" yang berbahaya," menurut agensi berita antarabangsa itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, serangan terhadap rangkaian Al Jazeera dilakukan dengan "cara yang memalukan".
"Netanyahu tidak dapat mencari sebarang justifikasi untuk ditawarkan kepada dunia atas serangan berterusan terhadap Al Jazeera dan kebebasan akhbar, kecuali untuk mengemukakan pembohongan dan fitnah baharu.
“Al Jazeera mengulangi bahawa tuduhan fitnah seperti itu tidak akan menghalang kami daripada meneruskan liputan yang berani dan profesional.”
Rangkaian itu menegaskan bahawa Netanyahu bertanggungjawab atas keselamatan kakitangannya di Gaza.
Terdahulu, Netanyahu memberi amaran beliau akan "bertindak segera" untuk menutup pejabat tempatan rangkaian itu di Israel.
Ia susulan Parlimen Israel, Knesset meluluskan rang undang-undang membenarkan rangkaian asing yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara diharamkan "sementara."
Larangan itu akan dilaksanakan untuk tempoh 45 hari pada satu masa dan boleh dilanjutkan. Undang-undang itu juga akan terus berkuat kuasa sehingga Julai atau sehingga tamat pertempuran penting di Gaza.
Sekurang-kurangnya 100 wartawan termasuk dari Al Jazeera telah terbunuh sejak perang Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu. -AFP