fb fb fb fb fb

Trump umum projek 'Golden Dome'

Foto AFP

WASHINGTON, 21 Mei – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, umum dana permulaan bagi sistem pelindung peluru berpandu "Golden Dome".

Beliau memaklumkan, projek tersebut akan menerima peruntukan awal sebanyak AS$25 bilion dan dijangka menelan belanja keseluruhan sekitar AS$175 bilion serta beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

“Semasa kempen pilihan raya, saya berjanji kepada rakyat Amerika bahawa saya akan membina sistem pelindung peluru berpandu tercanggih. Hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa reka bentuk sistem ini telah dipilih secara rasmi," katanya.

Tambahnya, "Golden Dome" akan mempunyai keupayaan untuk memintas peluru berpandu walaupun ia dilancarkan dari hujung dunia atau dari angkasa lepas.

Sementara itu, China mengecam langkah tersebut dengan alasan bakal menimbulkan ancaman terhadap kestabilan global.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Mao Ning berkata, negara Uncle Sam itu mementingkan diri sendiri dan obses dengan keselamatan mutlak, yang melanggar prinsip bahawa keselamatan sesebuah negara tidak seharusnya mengorbankan keselamatan negara lain.

“Pelan ini meningkatkan risiko angkasa lepas menjadi medan peperangan, mencetuskan perlumbaan senjata dan menjejaskan keselamatan antarabangsa,” ujarnya.

Awal bulan ini, China dan Rusia secara bersama turut mengecam rancangan Golden Dome dengan menyatakan ia secara mutlah hasrat Amerika untuk memperkukuh keupayaan tempur di angkasa lepas. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN