MOSCOW, 21 Mei – Presiden Rusia, Vladimir Putin melakukan lawatan pertama ke wilayah sempadan Kursk sejak ia berjaya dirampas semula daripada pasukan Ukraine.
Semasa lawatannya pada Selasa, Putin dilihat bertemu dengan gabenor wilayah tersebut Alexander Khinshtein, berbual dengan sukarelawan tempatan serta meninjau tapak pembinaan loji kuasa nuklear yang sedang dibangunkan.
Ukraine sebelum ini melancarkan serangan mengejut ke atas wilayah tersebut dan berjaya menguasai beberapa kedudukan strategik termasuk menawan ratusan kilometer persegi kawasan.
Ia menjadi satu tamparan besar kepada Kremlin dari segi ketenteraan memandangkan ia kubu kuat Rusia sejak perang tercetus.
Rusia kemudian telah mengerahkan ribuan tentera termasuk mendapatkan bantuan sekutunya, Korea Utara.
Bagaimanapun wilayah tersebut hanya dapat dikawal semula April lalu, selepas hampir sembilan bulan pencerobohan bermula. - AFP