NEW DELHI, 22 Mei – Sekurang-kurangnya 25 pemberontak Maoist terbunuh dalam satu pertempuran bersenjata dengan pasukan komando di satu kawasan hutan pedalaman di tengah India.
Pegawai kanan polis negeri Chhattisgarh, Vivekanand Sinha berkata, operasi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi menumpaskan pemberontakan yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
"Pertempuran berlaku jauh di dalam kawasan hutan di daerah Narayanpur, Chhattisgarh sebuah kawasan terpencil dan berhutan tebal yang sekian lama menjadi kubu kuat puak Maoist," katanya.
Tambahnya, pertempuran tercetus selepas pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai kehadiran “pemimpin Maoist kanan” di kawasan tersebut.
Bagaimanapun identiti mayat-mayat yang terbunuh masih belum dikenal pasti.
Sejak kerajaan India melancarkan kempen memerangi Maoist sejak tahun lalu, lebih 400 pemberontak dilaporkan telah terbunuh sementara tiada korban dicatatkan di pihak berkuasa. - AFP