fb fb fb fb fb

Israel setuju benar UAE salur bantuan segera ke Gaza

Foto Reuters

ABU DHABI, 22 Mei – Emiriah Arab Bersatu (UAE) capai persetujuan dengan Israel untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan segera ke Semenanjung Gaza.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan media rasmi negara itu, bantuan tersebut akan memenuhi keperluan makanan kira-kira 15,000 orang awam di Gaza untuk fasa awal.

“Inisiatif ini akan membekalkan barangan asas bagi menyokong pengoperasian kedai roti di Gaza, selain barangan penting untuk penjagaan bayi, dengan jaminan bekalan berterusan bagi memenuhi keperluan rakyat awam,” menurut kenyataan itu lagi.

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar penghantaran dan pengagihan bantuan dari UAE masih belum diumumkan.

Perjanjian tersebut dicapai selepas Sheikh Abdullah bin Zayed, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri UAE, membuat panggilan telefon kepada Menteri Luar Israel, Gideon Saar.

Langkah tersebut hadir selepas tekanan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Israel agar menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Semalam, Israel memaklumkan 93 trak bantuan telah memasuki Gaza melalui sempadan Israel, namun Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bantuan tersebut masih tertangguh. - REUTERS

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN