BEIRUT, 21 Mei – Meski wujud gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hezbollah di Lubnan, ia langsung tidak diendahkan tentera Zionist yang terus melancarkan serangan ke kawasan selatan negara itu.
Terbaharu, seorang lelaki maut melibatkan serangan sebuah drone yang meletupkan sebuah kereta di daerah pesisir Tyre.
Susulan itu, Lubnan menggesa komuniti antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan serangannya dan menarik balik tentera yang masih berada di kawasan tersebut.
Gencatan senjata yang dimeterai November lalu bertujuan menghentikan konflik antara Israel dengan Hezbollah serta menetapkan hanya pengawal keamanan PBB dan tentera Lubnan sahaja dibenarkan beroperasi di selatan.
Bagaimanapun Israel tetap berdegil dan masih mengekalkan tenteranya di lima kawasan yang dianggap strategik. - REUTERS