LONDON, 21 Mei – Kadar inflasi tahunan Britain melonjak kepada 3.5% pada April berbanding 2.6% pada Mac.
Menurut data rasmi yang dikeluarkan Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS), lonjakan tersebut mengatasi jangkaan pasaran dan ramalan Bank of England, sekali gus mengurangkan kemungkinan kadar faedah diturunkan lebih daripada sekali menjelang akhir tahun 2025.
Kenaikan ini turut menandakan bacaan inflasi tertinggi sejak Januari 2024 dan peningkatan kadar tertinggi sejak tahun 2022.
ONS turut memaklumkan, peningkatan harga didorong oleh kenaikan kos tenaga termasuk gas, elektrik dan air, serta cukai yang lebih tinggi ke atas majikan.
Ia juga dilihat sebagai penyumbang utama kepada tekanan harga yang berterusan.
Penganalisis menjangkakan angka ini akan mendorong Bank of England untuk mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam menurunkan kadar faedah, bagi memastikan inflasi terus dikawal sebelum sebarang pelonggaran dasar monetari selanjutnya dilaksanakan. - REUTERS