QUETTA, 21 Mei - Empat kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan bom ke atas sebuah bas sekolah di barat daya Pakistan, pada Rabu.
Serangan turut mencederakan lebih 30 pelajar lain.
Bas berkenaan membawa pelajar Sekolah Awam Tentera atau Army Public School di daerah Khuzdar, wilayah Balochistan.
Pegawai kanan daerah, Yasir Iqbal Dashti berkata, pihaknya masih menyiasat jenis bom yang digunakan.
Katanya, siasatan awal menunjukkan serangan itu dilakukan pengebom berani mati.
Jumlah angka korban mungkin meningkat.
Sekolah Awam Tentera merupakan institusi pendidikan untuk anak-anak anggota tentera dan penduduk awam setempat.
Insiden mengingatkan kembali tragedi serangan bersenjata tahun 2014 di Sekolah Awam Tentera di Peshawar.
Ketika itu, lebih 150 orang terkorban, kebanyakannya pelajar.
Serangan berkenaan mencetuskan tindakan keras pihak keselamatan terhadap kumpulan militan di wilayah sempadan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau menyifatkan penyerang sebagai ‘makhluk kejam’ yang tidak layak diberi belas kasihan kerana menyasarkan kanak-kanak.