fb fb fb fb fb

Trump umum pegawai AS tidak hadir Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 8 November – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan tiada pegawai AS akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan.

Beliau turut mengulangi dakwaan bahawa kaum Afrikaner kulit putih sedang dibunuh dan disembelih di negara itu.

Trump sebelum ini mengumumkan pada September, Naib Presiden JD Vance akan mewakili AS pada mesyuarat tersebut, namun kini berkata wakil AS tidak akan hadir.

“Ia satu aib besar bahawa G20 diadakan di Afrika Selatan,” kata Trump menerusi rangkaian sosial Truth Social. Tiada pegawai kerajaan AS akan hadir selagi pelanggaran Hak Asasi Manusia ini berterusan.”

Trump mendakwa kaum Afrikaner iaitu keturunan pendatang Eropah pertama di Afrika Selatan sedang dibunuh dan disembelih serta tanah dan ladang mereka dirampas secara haram.

Beliau berkata beliau menantikan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak G20 2026 di Amerika Syarikat, yang akan diadakan di resort golf miliknya di Miami, Florida.

Sejak kembali ke White House pada Januari, Trump sering menuding jari kepada Afrika Selatan atas beberapa isu, terutamanya dakwaan palsunya mengenai genosid kulit putih di negara itu.

Beliau pernah mengejutkan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, di Pejabat Oval awal tahun ini dengan memaparkan video mendakwa kerajaan pasca-apartheid menjalankan kempen terhadap petani kulit putih. Namun Kerajaan Afrika Selatan menafikan sebarang dasar sedemikian.

Pentadbiran Trump minggu lalu mengumumkan rancangan untuk mengehadkan jumlah pelarian diterima setiap tahun oleh AS ke paras terendah rekod iaitu 7,500 orang dengan memberi keutamaan kepada pelarian kulit putih dari Afrika Selatan.

Hubungan kedua-dua negara turut tegang ekoran isu lain termasuk kes Afrika Selatan mendakwa Israel melakukan genosid di Gaza di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Trump juga telah mengenakan tarif 30 peratus ke atas Afrika Selatan, kadar tertinggi di sub-Sahara Afrika.

ROSLINA BINTI DIN