WASHINGTON, 7 September - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut untuk mengenakan lebih banyak tarif terhadap Kesatuan Eropah (EU) selepas blok itu mengenakan denda kira-kira AS$3.47 bilion terhadap Google kerana melanggar undang-undang antimonopoli.
Dalam hantaran di Truth Social, Trump menyifatkan tindakan EU itu sebagai tidak adil dan mendakwa ia menjejaskan pelaburan serta peluang pekerjaan rakyat AS.
“Eropah hari ini menghukum satu lagi syarikat hebat Amerika, Google, dengan denda AS$3.5 bilion… sangat tidak adil, dan pembayar cukai Amerika tidak akan berdiam diri.
"Pentadbiran saya tidak akan membiarkan tindakan diskriminasi ini berterusan… saya akan memulakan prosiding Seksyen 301 bagi membatalkan penalti tidak adil ini,” katanya.
Suruhanjaya Eropah dalam kenyataan berasingan berkata, Google menyalahgunakan kedudukannya dalam teknologi iklan dengan memberikan kelebihan kepada platform iklan sendiri berbanding pesaing.
“Keputusan ini membuktikan Google merugikan penerbit, pengiklan dan pengguna,” kata Pesuruhjaya antipersaingan EU, Teresa Ribera.
Ia adalah kali keempat Google dikenakan denda berbilion euro oleh Brussels dalam kes antipersaingan.
Google mengesahkan akan mengemukakan rayuan.
Isu penguatkuasaan peraturan digital oleh EU sering dibangkitkan ketika rundingan perdagangan antara blok berkenaan dan pentadbiran Trump. - REUTERS