fb fb fb fb fb

Nusantara berisiko jadi ‘projek gajah putih’

Foto AFP

NUSANTARA, 7 September - Setahun selepas dirasmikan, ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, yang dibangunkan di tengah-tengah belantara untuk menggantikan Jakarta, masih belum menampakkan potensi seperti yang dijanjikan.

Meskipun menjadi tarikan pelancong dan pekerja binaan, kebanyakan bangunan ikonik termasuk Istana Presiden dan jalan raya baharu masih sunyi tanpa penghuninya.

Projek legasi bekas presiden, Joko Widodo atau Jokowi, kini berdepan pemotongan bajet yang besar.

Kelewatan pembinaan serta kurangnya minat daripada Presiden baharu, Prabowo Subianto, yang lebih menumpukan kepada projek kebajikan mega menjejaskan pembangunan Nusantara.

“Keazaman politik terhadap IKN ketika ini terasa hambar,” kata Dedi Dinarto, penganalisis kanan di firma Global Counsel, merujuk kepada nama rasmi Nusantara, Ibu Kota Nusantara.

Prabowo hanya menyebut IKN sekali dalam ucapan negara sulungnya dan memotong bajet projek itu daripada 43.4 trilion rupiah atau (AS$2.66 bilion) kepada hanya 6.3 trilion rupiah pada 2026.

Permohonan pihak berkuasa IKN untuk bajet lebih 21 trilion rupiah pada 2026 juga tidak diluluskan, manakala dana asing yang diharapkan masih sukar diperoleh.

“Prabowo merasakan ini bukan legasinya. Beliau ada agenda sendiri untuk didahulukan,” kata seorang pegawai terbabit dalam pembinaan IKN kepada AFP.

Hanya kira-kira 1,000 kakitangan pihak berkuasa bandar dan beberapa ratus pekerja kementerian tinggal di Nusantara ketika ini iaitu jauh daripada sasaran dua juta penduduk menjelang 2045.

Walaupun begitu, Ketua Pihak Berkuasa IKN, Basuki Hadimuljono, menegaskan kawasan eksekutif yang menempatkan istana dan kementerian sudah siap hampir 98 peratus.

Beliau yakin Prabowo akan berpindah ke Nusantara pada 2028 sebelum pilihan raya presiden seterusnya, sebaik kawasan legislatif dan kehakiman siap.

“Jika anda tidak mahu berpindah ke sini, itu kerugian anda,” katanya.

Namun, sesetengah penjawat awam masih ragu-ragu untuk berpindah ke kota baharu yang belum lengkap infrastrukturnya dan terletak 1,200 kilometer dari Jakarta.

Buat masa ini, Nusantara memiliki tiga hospital, kedai kopi, lebuh raya ke Balikpapan dan lapangan terbang menunggu kelulusan penerbangan komersial.

Manakala pusat beli-belah dan panggung wayang yang dirancang masih terbengkalai.

Seorang peniaga makanan ringan, Abduh Rajab, 57, mengeluh kerana pendapatannya merosot 60 peratus selepas berakhirnya era Jokowi.

“Dulu hampir setiap hari sibuk, kini pendapatan merosot teruk. Tapi saya perlu kekal optimis dan berharap pembinaan akan diteruskan,” katanya.

Meskipun terdapat pelancong yang teruja melihat istana berbentuk burung Garuda, penganalisis memberi amaran Nusantara berisiko menjadi ‘projek gajah putih’ jika momentum pembangunan terus perlahan. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD