fb fb fb fb fb

Rusia-Ukraine saling berbalas serangan, penempatan tentera asing jadi tumpuan

Foto REUTERS

MOSCOW 7 September – Rusia pada Jumaat mendakwa tenteranya melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran Ukraine.

Manakala Ukraine pula dilaporkan telah memusnahkan sejumlah besar peralatan ketenteraan Rusia pada Sabtu.

Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan pasukannya berjaya menguasai empat penempatan dalam zon “operasi ketenteraan khas” sepanjang minggu lalu, selain mengebom perusahaan industri ketenteraan dan lapangan terbang Ukraine menggunakan senjata berkeupayaan tinggi.

Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine melaporkan tenteranya terlibat dalam 184 pertempuran dengan pasukan Rusia di sepanjang garisan hadapan dalam tempoh 24 jam lalu.

Tentera Ukraine juga menyerang lokasi penempatan senjata, peralatan ketenteraan serta stesen radar Rusia, menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, rundingan diplomatik dan keselamatan semakin dipertingkat. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada Khamis mengumumkan bahawa 26 negara, kebanyakannya dari Eropah, telah berikrar menghantar tentera sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gencatan senjata pada masa depan, namun tidak akan dikerahkan di barisan hadapan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pada Jumaat berkata Kyiv kini sedang berbincang dengan rakan sekutu mengenai kemungkinan penempatan ribuan tentera asing.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar kerana perkara itu masih dalam rundingan.

Pada hari sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan keselamatan Ukraine tidak boleh dipisahkan daripada keselamatan Rusia, sambil memberi amaran bahawa mana-mana tentera asing yang ditempatkan di Ukraine akan dianggap sebagai sasaran sah bagi tentera Rusia. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD