fb fb fb fb fb

Trump tidak peduli, yakin tarif bantu industri tempatan

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 30 Mac- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan bahawa beliau tidak menghalang pengeluar kenderaan daripada menaikkan harga susulan pelaksanaan tarif ke atas kereta import.

Dalam wawancara bersama NBC News, Trump menyatakan beliau "tidak peduli" sekiranya syarikat automotif mengambil keputusan menaikkan harga kerana percaya langkah itu akan menggalakkan pembelian kenderaan buatan Amerika Syarikat.

"Saya harap mereka naikkan harga, kerana jika itu berlaku, orang ramai akan membeli kereta buatan Amerika," katanya.

White House dijangka menguatkuasakan tarif baharu ke atas pelbagai barangan pengguna bermula 2 April, satu keputusan yang mendapat kritikan antarabangsa serta kebimbangan mengenai kenaikan harga bagi pengguna.

Trump menegaskan, beliau hanya akan mempertimbangkan rundingan mengenai tarif tersebut jika negara lain menawarkan sesuatu yang mempunyai "nilai besar" kepada Amerika Syarikat.

Pelaksanaan tarif itu adalah sebahagian daripada dasar pentadbiran Trump bagi memperkukuh sektor pembuatan negara dan mengurangkan defisit perdagangan.

Sejak awal pemerintahannya, Trump sering menekankan kepentingan memperkukuh ekonomi domestik melalui dasar perdagangan yang lebih tegas terhadap rakan dagang utama.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE