fb fb fb fb fb

Tiga pelaut China hilang di perairan Ghana, disyaki diculik lanun

FOTO HIASAN

ACCRA, 30 Mac- Tiga warga China dilaporkan hilang selepas kapal yang dinaiki mereka dipercayai diserang kumpulan lanun di perairan Ghana, hujung minggu lalu.

Menurut kenyataan pihak tentera Ghana, insiden itu berlaku sekitar pukul 6.00 petang Khamis lalu apabila tujuh individu bersenjata menaiki kapal Mengxin I di perairan negara itu dan melepaskan tembakan amaran.

Kumpulan penyerang kemudian mengumpulkan anak kapal, manakala sebahagian lagi berjaya menyembunyikan diri.

Selepas tiga jam berada di atas kapal, lanun terbabit beredar, namun kapten kapal, ketua pegawai dek, dan ketua jurutera kesemuanya warga China didapati hilang dan dipercayai telah diculik.

Pihak berkuasa Ghana kini bekerjasama dengan negara anggota Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) bagi menyalurkan maklumat dan menyelaras tindakan lanjut.

Perairan Teluk Guinea, yang kaya dengan sumber minyak dan perikanan, sering menjadi sasaran kumpulan lanun, terutama di kawasan negara yang mempunyai keupayaan terhad dalam mengawal perairan mereka.

Pada 2022, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi yang dikemukakan Ghana dan Norway bagi mengutuk peningkatan kes lanun di rantau itu.

Laporan institut kajian Stable Seas pada 2021 mendedahkan bahawa kumpulan lanun, kebanyakannya berpangkalan di Delta Niger, mampu meraih sehingga AS$5 juta (RM23.5 juta) setahun melalui rompakan dan penculikan untuk wang tebusan.

Pada tahun sama, rondaan tentera laut Denmark pernah menembak mati empat lanun dalam pertempuran di luar pesisir Nigeria.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE