fb fb fb fb fb

Wartawan Sweden ditahan atas tuduhan keganasan dan hina Presiden Erdogan

Para penunjuk perasaan memegang sepanduk dan bendera Turki semasa perhimpunan yang dianjurkan oleh Parti Rakyat Republikan (CHP) bagi menyokong Datuk Bandar Istanbul yang ditahan, Ekrem İmamoğlu, di Maltepe. / Foto AFP

ISTANBUL, 30 Mac-Seorang wartawan Sweden yang tiba di Turkiye untuk membuat liputan mengenai protes terhadap pemenjaraan Datuk Bandar Istanbul telah ditangkap atas tuduhan berkaitan keganasan dan menghina presiden, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa Turkiye pada Ahad.

Joakim Medin, wartawan dari akhbar Dagens ETC, telah ditahan atas dakwaan “menjadi anggota organisasi pengganas bersenjata” dan “menghina presiden”, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Turkiye.

Medin ditangkap pada Khamis sejurus selepas pesawatnya mendarat di Turkiye, kata Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard, di media sosial.

Dalam satu buletin yang diterbitkan oleh "Pusat Memerangi Maklumat Palsu" kerajaan Turkiye, pihak berkuasa mendakwa Medin terkenal dengan laporan yang bersikap anti-Turkiye dan mempunyai hubungan rapat dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), kumpulan pemberontak Kurdish yang diharamkan di negara itu.

"Keputusan penahanan ini tidak ada kaitan langsung dengan aktiviti kewartawanan," tambah kenyataan tersebut.

Penahanan Medin berlaku hanya beberapa jam selepas pihak berkuasa Turki membebaskan 11 wartawan yang ditangkap dalam serbuan pada awal pagi Isnin lalu kerana membuat liputan protes, termasuk jurugambar AFP, Yasin Akgul.

Selain itu, pihak berkuasa Turkiye turut mengusir wartawan BBC, Mark Lowen, yang juga melaporkan protes tersebut.

Lowen ditahan selama 17 jam pada Rabu sebelum dihantar pulang, dengan alasan bahawa kehadirannya di Turkiye dianggap sebagai “ancaman kepada ketenteraman awam”, menurut BBC.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Direktorat Komunikasi Turkiye menjelaskan bahawa Lowen diusir kerana tidak mempunyai akreditasi rasmi untuk bertugas di negara itu.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD