TOKYO, 10 April- Saham-saham Asia mencatat lonjakan ketara dalam dagangan awal pagi Khamis, susulan pengumuman mengejut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menggantung pelaksanaan tarif balas besar-besaran ke atas import kecuali dari China selama 90 hari.
Langkah mengejut itu mencetuskan lonjakan mendadak di Wall Street, dengan indeks Dow melonjak hampir lapan peratus manakala Nasdaq merekodkan kenaikan 12.2 peratus – prestasi terbaik dalam tempoh 24 tahun.
Pasaran di Jepun menyambut positif pengumuman tersebut apabila indeks Nikkei 225 melonjak 8.3 peratus dalam dagangan pagi. Di Korea Selatan, indeks Kospi meningkat lebih lima peratus, manakala ASX 200 di Australia melonjak lebih enam peratus. Bursa Shanghai ketika itu masih belum memulakan dagangan.
Penganalisis dari Rakuten Securities Jepun, Masayuki Kubota menyifatkan kenyataan Trump itu sebagai “kejutan besar yang sangat dialu-alukan”.
Di pasaran mata wang, yen Jepun yang sering dianggap aset selamat, mengukuh sebanyak 0.64 peratus berbanding dolar AS kepada 146.83 yen setiap dolar. Harga emas turut meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada AS$3,097 per auns.
Saham syarikat automotif utama Jepun turut mencatat lonjakan, dengan Toyota naik hampir 10 peratus dan Honda menokok lebih lapan peratus. Namun begitu, tarif sebanyak 25 peratus ke atas import kereta ke AS masih kekal setakat ini.
Sektor teknologi, khususnya syarikat berkaitan cip, turut menunjukkan pemulihan kuat. Di Tokyo, saham Advantest melonjak 15 peratus manakala Screen Holdings naik 10.5 peratus. Di Seoul, SK Hynix melonjak lebih 12 peratus.
Pengumuman tersebut dilihat sebagai langkah taktikal menjelang rundingan lanjut perdagangan, namun buat masa ini, ia memberi kelegaan besar kepada pelabur yang bimbang terhadap ketegangan perdagangan global yang semakin memuncak.-AFP