fb fb fb fb fb

Colombia tarik balik larangan racun glyphosate, patuh tekanan Amerika Syarikat

FOTO AFP

BOGOTA, 10 April- Kerajaan Colombia pada hari Rabu mengumumkan penarikan semula larangan penggunaan racun rumpai glyphosate bagi memusnahkan tanaman coca selepas lebih sedekad susulan tekanan daripada Amerika Syarikat yang mahu usaha pembasmian dipertingkatkan.

Glyphosate yang digunakan secara meluas sebagai racun rumpai di seluruh dunia telah diharamkan di Colombia sejak tahun 2015, atas kebimbangan terhadap kesan kesihatan dan alam sekitar.

Menurut Komander Polis, Carlos Triana, penggunaan semula racun tersebut akan dilaksanakan secara terhad, tanpa semburan udara, dan hanya ke atas plot kecil tanaman coca.

Langkah ini diambil ketika Amerika Syarikat mendesak kerajaan Colombia menggandakan usaha memusnahkan ladang coca, susulan peningkatan rekod dalam pengeluaran kokain.

Pentadbiran Presiden Gustavo Petro yang berhaluan kiri sebelum ini bertegas menolak pendekatan penghapusan tanaman coca secara agresif, dengan alasan ia lebih banyak menjejaskan petani kecil berbanding kartel dadah.

Petro dan bekas Presiden AS, Donald Trump, turut terpalit dalam pertikaman lidah di media sosial sebelum ini, terutamanya melibatkan isu pengusiran warga asing dari AS.

Dalam suasana yang tegang ini, Rumah Putih dijangka membuat keputusan lewat tahun ini sama ada Colombia akan dimasukkan ke dalam senarai hitam kerana gagal mengawal pengeluaran dadah.

Sekiranya disenaraihitamkan, Colombia boleh berdepan kehilangan bantuan kewangan dalam pelbagai projek keselamatan serta impak besar terhadap reputasi antarabangsa negara itu.

Difahamkan isu penggunaan glyphosate turut dibincangkan semasa lawatan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem, ke Colombia baru-baru ini.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada pengumuman terbaharu ini mencukupi untuk mengelak tindakan dari pihak Washington.

Triana turut menegaskan bahawa racun tersebut tidak akan digunakan pada ladang coca yang melebihi keluasan 1.5 hektar.

Namun, penggunaan glyphosate masih menerima tentangan daripada banyak komuniti tempatan yang mendakwa bahan kimia itu mengundang penyakit serta memusnahkan tanaman sah mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula mengklasifikasikan glyphosate sebagai bahan yang "berkemungkinan boleh menyebabkan kanser kepada manusia".

Dalam masa yang sama, Petro turut berdepan tekanan dalam negara untuk menangani kegiatan kartel dadah yang menjana pendapatan besar secara haram.

Strategi "keamanan menyeluruh" beliau yang memberi ruang kepada rundingan dengan kumpulan bersenjata kini dipersoalkan, apabila pendekatan tersebut dilihat gagal malah memberi peluang kepada kumpulan terbabit untuk memperkukuh pengaruh dan kekayaan masing-masing.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE