fb fb fb fb fb

Enam rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel

Foto AFP

NABLUS, 10 April- Enam rakyat Palestin cedera akibat tembakan tentera Israel pada malam Rabu di kem pelarian Balata, timur bandar Nablus, Tebing Barat.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Pengarah Pusat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), Amid Ahmad berkata pihaknya memberikan rawatan awal kepada enam orang awam yang cedera akibat tembakan tentera Israel sebelum membawa mereka ke hospital.

"Dalam insiden sama, seramai 50 orang mengalami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata secara berlebihan," lapor WAFA.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan PRCS telah memindahkan 21 pesakit termasuk empat kanak-kanak dari kem tersebut ke hospital semasa serbuan berlaku.

Tentera penjajah menceroboh masuk ke dalam kem pada awal pagi Rabu, mengawal kawasan kem serta menutup semua laluan keluar masuk.

Tentera memaksa beberapa keluarga keluar dari rumah masing-masing di bawah ancaman senjata dan menggeledah rumah mereka sehingga menyebabkan kemusnahan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM