fb fb fb fb fb

Trump sindir tidak dapat hadiah Nobel: “Henti 8 perang pun tak cukup?”

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 16 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang sering menggelar dirinya sebagai pendamai dan pernah berkempen untuk meraih Hadiah Keamanan Nobel, menyindir kegagalannya menerima anugerah itu ketika berucap pada satu majlis makan malam di White House, Rabu.

“Saya hentikan lapan peperangan dalam tempoh lapan bulan. Saya dapat Hadiah Nobel? Tak,” katanya secara berseloroh.

Trump turut berkata beliau percaya “tahun depan mungkin lebih baik”, sambil menegaskan keutamaan beliau adalah menyelamatkan ratusan juta nyawa.

Minggu lalu, pemimpin pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado, 58 tahun, yang juga seorang jurutera industri, diumumkan penerima Hadiah Keamanan Nobel selepas berjaya menyuntik semula semangat rakyat negaranya yang lama terjejas akibat krisis ekonomi dan sosial berpanjangan.

Pihak White House sebelum ini mengkritik keputusan Jawatankuasa Nobel yang memilih Machado berbanding Trump, yang sebelum ini secara terbuka melobi untuk anugerah tersebut dan sering menonjolkan peranannya dalam memeterai beberapa perjanjian gencatan senjata antarabangsa.

Trump berulang kali mendakwa dirinya telah menamatkan lapan konflik sejak memegang jawatan presiden dan layak menerima anugerah keamanan, walaupun mengakui beliau sudah menjangka akan diketepikan kali ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE