BOGOTA, 16 Oktober - Koordinator Tentera Kebangsaan Bolivarian (CNEB), salah satu daripada lima kumpulan serpihan bekas gerila FARC, menyerahkan sebahagian pertama daripada 14 tan bahan perang untuk dimusnahkan sebagai tanda komitmen terhadap rundingan damai bersama Kerajaan Colombia.
Penyerahan bahan letupan, bom tangan, mortar dan peralatan lain itu merupakan langkah paling signifikan setakat ini oleh Presiden berhaluan kiri, Gustavo Petro, dalam usaha membawa kumpulan yang dianggotai kira-kira 2,000 individu termasuk pejuang dan penyokongnya keluar daripada konflik dalaman yang telah berlarutan selama enam dekad serta meragut lebih 450,000 nyawa.
Bahan perang tersebut dimusnahkan melalui satu operasi terkawal oleh Tentera Kebangsaan di kawasan pedalaman hutan wilayah Putumayo, berhampiran perbandaran Puerto Asís.
CNEB merupakan pecahan daripada kumpulan Second Marquetalia, sebuah puak penentang perjanjian damai FARC yang diketuai Ivan Marquez. Puak itu menolak perjanjian damai yang ditandatangani pada 2016 dengan alasan kerajaan gagal menunaikan komitmennya.-REUTERS