fb fb fb fb fb

Hamas berikrar patuhi perjanjian, AS akui kesukaran pengeluaran mayat di Gaza

Presiden AS, Donald Trump akui kesukaran menggali mayat yang tertimbus bawah runtuhan di Gaza / AFP

WASHINGTON, 16 Oktober- Hamas masih berpegang teguh dengan janjinya untuk memulangkan mayat-mayat tebusan yang terkorban di Gaza, biarpun Israel mengancam untuk menyambung semula operasi ketenteraan kerana hanya sebilangan kecil mayat telah dipulangkan setakat ini.

Penasihat kanan Amerika Syarikat berkata, usaha untuk mengeluarkan mayat-mayat dari wilayah Palestin itu amat sukar memandangkan Gaza kini berada dalam keadaan musnah teruk, dengan kebanyakan kawasan telah “dihancurkan sepenuhnya”, dan memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan kerja-kerja pencarian dan penggalian.

“Kami masih menerima maklumat daripada pihak Hamas bahawa mereka berhasrat untuk mematuhi perjanjian tersebut. Mereka mahu melihat pelaksanaan perjanjian ini disempurnakan sepenuhnya dalam aspek ini,” kata salah seorang penasihat kepada wartawan, dengan syarat identiti dirahsiakan.

Menurut beliau lagi, ramai pihak berasa kecewa dan marah apabila hanya empat mayat dipulangkan pada awalnya, dan Hamas berpotensi memilih untuk menghentikan kerjasama.

Namun begitu, mereka kemudiannya menyerahkan beberapa lagi mayat pada hari-hari berikutnya, seiring dengan maklumat risikan yang kami salurkan kepada mereka,” jelas beliau.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut mengesahkan perkara tersebut, menyatakan bahawa Hamas sedang giat melakukan pencarian mayat-mayat berkenaan.

“Mereka sedang menggali. Mereka telah menemui banyak mayat,” ujar Trump kepada media di Pejabat Oval apabila ditanya sama ada Hamas masih mematuhi perjanjian yang dimeterai.

Amerika Syarikat dan beberapa pihak pengantara antarabangsa sedang merangka satu program ganjaran untuk diberikan kepada mana-mana individu yang dapat membantu mengesan lokasi mayat-mayat tebusan. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH