fb fb fb fb fb

Israel ugut sambung serangan, jika Hamas gagal patuhi gencatan senjata

Foto AFP

KAHERAH, 16 Oktober- Israel mengeluarkan amaran yang kononnya akan melancarkan serangan terhadap Hamas sekiranya kumpulan itu gagal memenuhi syarat-syarat gencatan senjata yang dimeterai.

Amaran itu dikeluarkan Pejabat Menteri Pertahanan Israel Katz hanya selepas Hamas menyerahkan dua lagi mayat tebusan rejim.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dimeterai Isnin lalu, Hamas telah menyerahkan 20 tebusan yang masih hidup sebagai pertukaran kepada pembebasan hampir 2,000 banduan Palestin dari penjara Israel.

Sementara itu, dalam satu hantaran di media sosial, Briged Ezzedine Al-Qassam — memaklumkan bahawa dua mayat yang diserahkan merupakan mayat terakhir yang dapat dikeluarkan buat masa ini. Situasi itu berisiko kepada kegagalan memenuhi syarat perjanjian di pihak Israel yang menuntut semua mayat dikembalikan.

“Kami telah melaksanakan tanggungjawab terhadap perjanjian ini dengan menyerahkan semua tebusan Israel yang masih hidup serta mayat-mayat yang dapat diakses,” kata kenyataan tersebut.

“Untuk mendapatkan mayat-mayat yang masih tertimbus, usaha besar dan peralatan khas diperlukan. Kami sedang berusaha sedaya upaya bagi menutup isu ini dengan sebaiknya.”

Hamas turut memberitahu, tiada lagi mayat yang dapat dikembalikan buat masa ini kerana kekangan logistik dan ketiadaan peralatan khas bagi mencari mayat di bawah runtuhan di Gaza.

Terdahulu, kumpulan itu telah menyerahkan tujuh daripada 28 mayat tebusan yang dikenal pasti — selain satu lagi mayat yang menurut Israel bukan milik mana-mana bekas tebusan.

Kegagalan untuk mendapatkan semula kesemua mayat dipercayai akan meningkatkan tekanan politik terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terutamanya dalam mengaitkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan pemulangan mayat-mayat tentera Israel yang masih tertahan.

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir, sebelum ini mengancam untuk menghentikan sepenuhnya bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza sekiranya Hamas tidak memulangkan ke semua mayat tentera yang masih berada di wilayah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa pihak Israel telah memindahkan 45 lagi mayat warga Palestin yang berada dalam tahanan, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikembalikan kepada 90 setakat ini.

Menurut pelan gencatan senjata yang dirangka Presiden Trump, Israel bersetuju untuk menyerahkan 15 mayat rakyat Palestin bagi setiap seorang tebusan Israel yang telah meninggal dunia. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH