fb fb fb fb fb

PBB gesa Israel buka segera pintu sempadan

Foto AFP

GAZA, 16 Oktober- Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher menggesa agar Israel segera membuka semua pintunya memasuki Gaza bagi membolehkan bantuan disalurkan, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.

"Kami menyeru agar akses tanpa halangan diberikan,” ujar Fletcher dalam satu wawancara di Kaherah, sambil menambah, "Perkara ini sepatutnya berlaku sekarang. Kami mahu ia dilaksanakan serta-merta sebagai sebahagian daripada perjanjian ini,” merujuk kepada perjanjian antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Isnin lalu, satu deklarasi telah ditandatangani Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama para pemimpin serantau yang lain bagi memeterai perjanjian tersebut.

Tegas Fletcher, tugas utama pihaknya kini adalah untuk memastikan semua bantuan itu sampai kepada penduduk di Gaza.

Tambahnya, jumlah bantuan yang berjaya memasuki Gaza setakat ini hanyalah sebahagian kecil daripada keperluan sebenar.

Pihaknya juga bertekad untuk menghentikan kebuluran di Gaza termasuk membina semula sektor kesihatan, membersihkan runtuhan dan mengembalikan harapan kepada rakyat untuk kehidupan yang lebih baik. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH