fb fb fb fb fb

Makmal jet NASA buang 550 pekerja

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 16 Oktober - Makmal Jet Propulsion (JPL) milik NASA akan mengurangkan hampir 550 pekerja sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula, yang tidak berkaitan dengan penutupan sementara kerajaan Amerika Syarikat ketika ini.

JPL merupakan satu-satunya pusat penyelidikan dan pembangunan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan, dan bertanggungjawab mereka bentuk, membina serta mengendalikan kelima-lima rover yang berjaya mendarat di permukaan Marikh setakat ini.

Menurut kenyataan di laman webnya, pemberhentian itu melibatkan kakitangan dalam bidang teknikal, perniagaan dan sokongan sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan yang bermula sejak Julai lalu.

Pengarah JPL, Dave Gallagher, berkata langkah itu penting bagi menjamin masa depan makmal tersebut dengan membina struktur operasi yang lebih efisien, memberi tumpuan kepada keupayaan teknikal teras serta mengekalkan disiplin kewangan.

Pekerja yang terlibat akan dimaklumkan mengenai status mereka pada Selasa, 21 Oktober ini.

Ketika ini, JPL mempunyai kira-kira 5,500 pekerja dan kontraktor di kemudahan seluas 168 ekar di kaki pergunungan San Gabriel berhampiran Pasadena, California.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE