fb fb fb fb fb

Trump pertimbang sekatan ekonomi paling serius ke atas Rusia jika gencatan senjata ditolak

Presiden Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Donald Trump/Foto Reuters

WASHINGTON, 27 Ogos - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang mempertimbang untuk mengenakan sekatan ekonomi paling serius ke atas Rusia jika ia menolak gencatan senjata dalam konflik di Ukraine yang berlarutan selama tiga tahun setengah, lapor Xinhua.

"Terlalu serius apa yang ada dalam fikiran saya, jika saya terpaksa melakukannya, tetapi saya mahu melihatnya berakhir," Trump dipetik oleh laporan media, sebagai respons kepada soalan wartawan sama ada Presiden Rusia, Vladimir Putin akan menghadapi akibat jika beliau gagal bersetuju dengan gencatan senjata.

"Kita ada sekatan ekonomi. Saya bercakap tentang ekonomi kerana kita tidak akan terlibat dalam perang dunia," katanya.

Trump sekian lama mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas Rusia dan cuba menjadi pengantara untuk pertemuan antara Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, namun Kremlin menyatakan yang keadaan belum bersedia.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov pada Khamis berkata, penempatan tentera asing di Ukraine tidak boleh diterima oleh Rusia, kerana AS dan Eropah sedang berusaha untuk menyediakan jaminan keselamatan untuk Kyiv.

Jelas Lavrov lagi, Rusia tidak menolak sebarang format, sama ada dua hala atau tiga hala, untuk menyelesaikan konflik di Ukraine.-BERNAMA/XINHUA

ASHRIQ FAHMY AHMAD