fb fb fb fb fb

Australia ikrar sumbang $172 juta selama tiga tahun kepada Global Fund

Global Fund memerangi AIDS, batuk kering dan malaria/Foto Internet

SYDNEY, 27 Ogos - Australia berikrar untuk menyumbang sebanyak AUD266 juta (US$172.7 juta) sepanjang tiga tahun akan datang untuk menyokong Global Fund bagi memerangi AIDS, batuk kering dan malaria.

Komitmen pembiayaan tersebut diumumkan pada Rabu oleh Menteri Luar, Penny Wong dan Menteri Pembangunan Antarabangsa, Anne Aly.

Mereka dalam kenyataan bersama menyatakan Australia kekal 'teguh' dalam komitmennya untuk menyokong Indo-Pasifik menangani penyakit berisiko tinggi.

"Australia komited sepenuhnya untuk memperkukuh hasil kesihatan di Pasifik dan Asia Tenggara dan memainkan peranan kita dalam menangani cabaran kesihatan global," kata Wong.

"Pelaburan kita dalam rakan kongsi seperti Global Fund membantu memastikan keperluan rantau kita diberi keutamaan, menyumbang kepada Indo-Pasifik yang lebih sihat dan Australia yang lebih selamat," katanya

Global Fund menyatakan ia membantu menyelamatkan 65 juta nyawa dan meningkatkan jangka hayat secara signifikan di negara berpendapatan rendah dan sederhana sejak ia ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2002.

Komitmen pembiayaan Australia untuk tiga tahun akan datang adalah sama dengan komitmen sebelumnya yang dibuat pada 2022.-BERNAMA/XINHUA

ASHRIQ FAHMY AHMAD