fb fb fb fb fb

Trump mahu lebih banyak pelaburan kerajaan dalam syarikat AS

Presiden Donald Trump

WASHINGTON, 26 Ogos- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan hasratnya untuk membuat lebih banyak pelaburan dalam syarikat tempatan yang stabil, walaupun sokongan Korporat Amerika terhadap langkah itu masih diragui.

White House minggu lalu mengumumkan pegangan hampir 10 peratus dalam syarikat pembuatan cip, Intel, melalui penukaran geran kerajaan kepada saham ekuiti.

Trump menegaskan pendekatan serupa turut akan digunakan dalam sektor lain.

Langkah itu menyalahi pandangan tradisional ekonomi AS, di mana kerajaan biasanya hanya mengambil saham korporat dalam situasi luar biasa seperti krisis kewangan global 2008 dan penyelamatan industri automotif AS.

Walaupun Intel menghadapi cabaran, syarikat itu masih mempunyai rizab tunai AS$9 bilion dan nilai pasaran AS$105 bilion.

Pihak pengkritik melihat langkah tersebut adalah sebagai ancaman kepada fleksibiliti perniagaan di AS, termasuk tekanan kerajaan ke atas Rizab Persekutuan untuk menurunkan kadar faedah, penggunaan kuasa kecemasan untuk mengenakan tarif import dan campur tangan dalam pelbagai penggabungan.

Risiko pelaburan kerajaan juga jelas dalam dokumen peraturan Intel, yang menyatakan pelaburan itu berpotensi menjejaskan jualan antarabangsa, menyukarkan penerimaan geran kerajaan tambahan, atau dikenakan peraturan dan sekatan di negara lain.

Penganalisis bimbang pelaburan kerajaan di Intel mungkin mempengaruhi pelanggan untuk memilih produk Intel berbanding pesaing. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM