fb fb fb fb fb

Trump mahu laluan percuma kapal AS di Terusan Panama dan Suez

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/ Foto Reuters

WASHINGTON, 27 April - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Sabtu menggesa agar kapal-kapal dagang dan ketenteraan Amerika dibenarkan melalui Terusan Panama dan Terusan Suez secara percuma.

Beliau turut mengarahkan Setiausaha Negaranya supaya segera mengambil tindakan dalam isu tersebut.

Trump, yang sejak beberapa bulan lalu menyuarakan hasrat agar Amerika Syarikat mengambil alih kawalan ke atas Terusan Panama, turut mengalihkan perhatian kepada laluan penting Suez dalam kenyataannya di platform Truth Social.

"Kapal-kapal Amerika, baik ketenteraan mahupun dagang, sepatutnya dibenarkan melalui Terusan Panama dan Suez tanpa dikenakan bayaran!" tulis beliau.

Trump mendakwa bahawa kedua-dua laluan itu “tidak akan wujud” tanpa peranan AS, dan beliau telah meminta Setiausaha Negara Marco Rubio untuk “segera menguruskan” perkara itu.

Presiden Panama, Jose Raul Mulino, tanpa menyebut nama Trump secara langsung, menegaskan bahawa kadar tol Terusan Panama ditentukan Lembaga Pengurusan Terusan Panama (ACP), sebuah badan berkuasa autonomi yang mengawasi laluan perdagangan tersebut.

"Tiada sebarang perjanjian yang menyatakan sebaliknya," katanya dalam satu hantaran di platform X.

Sebelum ini, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, semasa lawatan ke Panama City awal bulan ini, menyatakan bahawa Amerika Syarikat sedang berusaha mencapai perjanjian agar kapal perang AS diberi laluan “pertama dan percuma” di Terusan Panama.

Amerika Syarikat dan China merupakan antara pengguna utama Terusan Panama.

Sementara itu, Terusan Suez di Mesir yang menghubungkan Eropah dan Asia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada perdagangan maritim global sebelum laluan tersebut terganggu akibat serangan oleh pemberontak Huthi di Laut Merah dan Teluk Aden.

Mesir melaporkan bahawa hasil daripada Terusan Suez menjunam sebanyak 60 peratus tahun lalu, bersamaan kerugian sekitar $7 bilion. - AFP

TETITIA YUSOFF