RAMALLAH, 27 April – Presiden Palestin, Mahmud Abbas, melantik salah seorang pembantu rapatnya sebagai Naib Presiden pertama Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada Sabtu.
Pelantikan itu sekali gus meletakkan beliau sebagai calon pengganti kepada pemimpin veteran itu.
Hussein al-Sheikh dilantik oleh Abbas, 89, selepas jawatan Naib Presiden diwujudkan dalam satu konvensyen yang diadakan di sini minggu ini.
Langkah tersebut hadir selepas sekian lama tekanan antarabangsa untuk merombak struktur PLO, selain visi kuasa Arab dan Barat untuk memperluas peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam pemerintahan Gaza selepas perang.
"Presiden Palestin, Mahmud Abbas, telah melantik Hussein al-Sheikh sebagai timbalan (naib presiden) kepimpinan PLO," kata ahli Jawatankuasa Eksekutif PLO, Wasel Abu Yousef, kepada AFP.
Ditubuhkan pada tahun 1964, PLO diberi kuasa untuk merunding dan menandatangani perjanjian antarabangsa bagi pihak rakyat Palestin, manakala PA bertanggungjawab ke atas pentadbiran di sebahagian wilayah Palestin.
PLO merupakan sebuah organisasi payung yang merangkumi beberapa faksi Palestin, namun tidak termasuk kumpulan Hamas dan Jihad Islam, yang kini terlibat dalam peperangan dengan tentera Israel di Gaza.
Sementara itu, Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim, menyambut pelantikan itu dengan dingin.
"Rakyat Palestin bukanlah kawanan yang boleh dipaksakan pemimpin dengan sejarah meragukan yang telah mengikat masa kini dan masa depan mereka kepada penjajahan," katanya dalam satu kenyataan.
"Legitimasi hanya dimiliki oleh rakyat Palestin, melalui senjata dalam menentang penjajahan, dan peti undi. Era penjagaan ke atas rakyat kami telah berlalu", katanya.
Sheikh, 64, merupakan pemimpin veteran pergerakan Fatah pimpinan Abbas yang mendominasi PA, dan dianggap rapat dengan Presiden.
Beliau pernah dipenjarakan lebih 10 tahun oleh Israel pada akhir 1970-an dan awal 1980-an, di mana beliau turut mempelajari bahasa Hebrew.
Pada 2022, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif PLO dan mengetuai jabatan perundingan, satu portfolio sensitif yang membuktikan hubungan eratnya dengan Abbas.
Abbas juga baru-baru ini melantik Sheikh sebagai ketua jawatankuasa yang mengawasi misi diplomatik Palestin di luar negara.
Penganalisis Palestin, Hani al-Masri, menyeru supaya diwujudkan jawatan Naib Presiden dalam PA sendiri.
"Ini bukanlah satu langkah pembaharuan, tetapi sekadar respons terhadap tekanan luaran," kata Masri dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Strategik Palestin.
"Apa yang diperlukan adalah Naib Presiden untuk PA yang boleh menerima kuasa sekiranya perlu," katanya kepada AFP.
Namun, penganalisis Aref Jaffal berkata jawatan baharu ini diwujudkan untuk membuka jalan kepada penggantian Abbas.
"Sistem politik Palestin kini dalam keadaan teruk, maka saya percaya semua susunan ini adalah langkah awal untuk mencipta pengganti kepada Abbas," kata Jaffal, Pengarah Pusat Pemantauan Pilihan Raya Al-Marsad, kepada AFP.
Arab Saudi menyambut baik "langkah-langkah pembaharuan" yang diambil Abbas dalam melantik Sheikh sebagai timbalannya.
"Langkah-langkah pembaharuan ini akan memperkukuhkan usaha politik Palestin... terutamanya hak untuk menentukan nasib sendiri menerusi penubuhan negara merdeka di sepanjang sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," kata Kementerian Luar Saudi.
Pada bulan Mac lalu, di sebuah sidang kemuncak di Kaherah mengenai masa depan Gaza selepas perang, Abbas telah mengumumkan rancangan untuk mewujudkan jawatan Naib Presiden dalam PLO.
Langkah ditentang beberapa faksi Abbas yang telah mengetuai PA sejak 2005 selepas kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Setahun kemudian, beliau dipilih untuk tempoh empat tahun, namun tiada pilihan raya presiden diadakan sejak itu.
Menurut pegawai Palestin, sekiranya Abbas meninggal dunia atau meletak jawatan, Naib Presiden dijangka akan mengambil alih sebagai Ketua PLO dan Negara Palestin, yang diiktiraf hampir 150 negara.
Abbas membawa cadangan untuk mewujudkan jawatan Naib Presiden ini dalam konvensyen PLO minggu ini, tetapi ia ditentang oleh beberapa faksi yang bertindak keluar dewan sebagai bantahan.
Mereka berpendapat inisiatif itu mengancam kedaulatan PLO dan menunjukkan campur tangan asing.
PA kini berada di ambang kejatuhan kewangan, dan selepas serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza, beberapa penderma antarabangsa semakin menuntut agar bantuan kewangan dikaitkan dengan reformasi politik dan institusi yang kukuh.
Pada Rabu lalu, Abbas mempertahankan langkah mewujudkan jawatan Naib Presiden dengan alasan ia dapat memperkukuhkan institusi Palestin dan mengukuhkan lagi pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin.
Beberapa penganalisis melihat langkah itu sebagai percubaan terancang Abbas untuk menonjolkan imej bahawa beliau sedang mendesentralisasi kuasa.-AFP.