WASHINGTON, 11 Ogos - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan akan mengerah Pengawal Negara (National Guard) dan penguat kuasa persekutuan ke Washington bagi menangani jenayah ganas di ibu negara.
Trump berkata pada sidang media di White House bahawa langkah itu termasuk meletakkan Polis Metropolitan DC di bawah kawalan langsung kerajaan persekutuan, selain menghantar Pengawal Negara.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai “Hari Pembebasan di DC” dan berikrar mengambil semula kawalan ibu negara.
Trump, yang disabitkan kesalahan jenayah pada 2024 namun tidak pernah menjalani hukuman penjara, mendakwa pihak polis dan pendakwa raya tidak cukup tegas.
Beliau sebelum ini berulang kali mengancam untuk mengambil alih pentadbiran bandar berpenduduk 700,000 itu, sambil menyatakan jenayah di Washington “tidak terkawal sepenuhnya.”
Trump turut merancang melaksanakan dasar berkenaan di bandar lain yang dianggap bermasalah termasuk New York dan Chicago.
Washington berada di bawah kawalan khas kerajaan persekutuan mengikut Akta Home Rule sejak 1970-an yang mengehadkan autonominya walaupun penduduk boleh memilih Datuk Bandar dan Majlis Bandaraya.
Data awal polis DC menunjukkan penurunan ketara jenayah ganas antara 2023 dan 2024, walaupun selepas lonjakan pasca pandemik.
Trump juga berjanji untuk menangani penempatan gelandangan, memindahkan mereka jauh dari ibu negara dan memenjarakan penjenayah dengan segera.-AFP