fb fb fb fb fb

Sheikh Hasina dibicarakan atas tuduhan rasuah

Foto REUTERS

DHAKA, 12 Ogos - Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina serta beberapa ahli keluarganya bermula pada Isnin di Mahkamah Daerah dan Sesyen Dhaka.

Pada hari pertama perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan saksi bagi sekurang-kurangnya tiga kes membabitkan keluarga Hasina, yang pernah menerajui Bangladesh selama lebih 15 tahun sehingga Ogos tahun lalu. Pemerintahan Hasina berakhir selepas kebangkitan pelajar yang memaksanya meletak jawatan dan melarikan diri ke India.

Kes-kes tersebut melibatkan dakwaan penyelewengan dalam pengagihan lot kerajaan di bawah Projek Bandar Baharu Purbachal, yang kini menjadi tumpuan siasatan.

Ramai rakyat Bangladesh kini menantikan proses keadilan yang dianggap telah lama tertangguh, meskipun perbicaraan dijalankan tanpa kehadiran Hasina dan keluarganya.

“Kami mahukan keadilan yang sewajarnya dan dana yang diseleweng dikembalikan kepada Bangladesh,” kata pemimpin Kesatuan Pelajar Universiti Dhaka, Nuzia Hasin Rasha.

Seorang lagi pelajar, Rahad Ahmed, menyuarakan sokongan terhadap perbicaraan 'in absentia'.

“Dia meninggalkan negara atas kehendaknya sendiri dan nampaknya tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah. Oleh itu, saya rasa wajar perbicaraan diteruskan tanpa kehadirannya,” katanya.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN