NEW YORK, 12 Ogos - Sekurang-kurangnya seorang maut dan puluhan lagi cedera dalam insiden letupan di loji U.S. Steel Clairton Coke Works, kira-kira 25 kilometer dari bandar Pittsburgh, Amerika Syarikat.
Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro, dalam satu kenyataan di platform X, mengesahkan bahawa beberapa letupan berlaku di kilang berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
“Kakitangan yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan, dan usaha mencari mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Polis Daerah Allegheny mengesahkan dalam hantaran di Facebook bahawa terdapat satu kematian berkaitan insiden itu, setakat ini.
Manakala beberapa media tempatan melaporkan bahawa masih ada mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Senator Amerika Syarikat, John Fetterman, turut memuat naik kenyataan di X, menyatakan bahawa puluhan orang cedera dalam letupan berkenaan.
Datuk Bandar Clairton, Richard Lattanzi, memberitahu stesen CBS bahawa terdapat beberapa kecederaan serius, termasuk yang mungkin kritikal.
“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku hari ini,” katanya.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah bangunan industri yang musnah teruk dengan kepulan asap tebal.
Loji Clairton Coke Works yang terletak di tepi Sungai Monongahela dikenali sebagai kilang fasiliti industri terbesar di Amerika Syarikat. Kilang itu dimiliki oleh U.S. Steel, namun syarikat itu belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut setakat ini.-AFP