BOGOTA, 11 Ogos - Calon presiden Colombia, Miguel Uribe, meninggal dunia dua bulan selepas ditembak ketika berkempen di ibu negara pada Jun lalu, menurut keluarganya semalam.
Uribe, 39, yang juga senator konservatif dan cucu kepada bekas presiden Julio Cesar Turbay, ditembak di kepala dan kaki pada 7 Jun ketika berucap pada perhimpunan kempen di Bogota.
Beliau menunjukkan tanda-tanda pemulihan namun mengalami pendarahan otak baharu pada Sabtu lalu.
“Bersemadilah dengan tenang, cinta dalam hidup saya. Terima kasih atas kehidupan yang penuh dengan kasih sayang,” tulis isterinya, Maria Claudia Tarazona, di Instagram.
Polis menahan enam suspek termasuk penembak utama, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang ditangkap di lokasi kejadian oleh pengawal peribadi Uribe.
Pihak berkuasa turut menahan dalang yang dikenal pasti sebagai Elder Jose Arteaga Hernandez atau “El Costeno” dan mengaitkan serangan itu dengan kumpulan serpihan bekas gerila FARC.
Naib Presiden Colombia, Francia Marquez, menyifatkan kematian Uribe sebagai “hari yang sedih bagi negara” dan menegaskan demokrasi tidak boleh dibina dengan peluru atau darah, sebaliknya dengan rasa hormat dan dialog.
Uribe sebelum ini mengumumkan akan bertanding bagi menggantikan Presiden Gustavo Petro yang tamat tempoh perkhidmatan pada Mei 2026.
Beliau pernah dipilih sebagai ahli majlis bandar Bogota pada usia 26 tahun, menjadi pengerusi termuda majlis itu dan seterusnya pembantu kanan datuk bandar.
Pada 2019, beliau tewas dalam pilihan raya Datuk Bandar Bogota, namun tiga tahun kemudian dipilih sebagai senator dengan undian tertinggi di negara itu menerusi Parti Demokratik Tengah yang diasaskan bekas presiden Alvaro Uribe, yang tiada hubungan kekeluargaan dengannya.-AFP