KHAPLU, 11 Ogos - Tujuh penduduk maut dalam kejadian tanah runtuh di utara Pakistan pada Isnin ketika mereka membaiki saluran air yang rosak akibat hujan monsun.
Agensi bencana wilayah Gilgit-Baltistan memaklumkan, kejadian berlaku di bandar Danyor ketika kumpulan penduduk terbabit sedang bekerja pada waktu malam.
“Tujuh mayat telah ditemukan selepas mereka tertimbus lumpur,” menurut agensi itu dalam laporan insiden.
Menurut wartawan tempatan, Shireen Karim, kerja-kerja membaiki saluran air itu adalah inisiatif sukarela penduduk yang bergantung kepada bekalan air berkenaan untuk kegunaan harian dan pertanian. “Mereka kebiasaannya bekerja pada waktu malam kerana cuaca panas pada siang hari,” katanya kepada AFP.
Empat saluran air yang dibina daripada batu atau lumpur itu rosak akibat banjir kilat pada Julai lalu, dengan dua daripadanya telah siap dibaiki.
Sejak musim monsun bermula pada 26 Jun, lebih 300 orang terkorban di seluruh Pakistan akibat banjir kilat, runtuhan bangunan, panahan petir dan lemas, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara.
Musim monsun yang berlangsung dari akhir Jun hingga September menyumbang 70 hingga 80 peratus hujan tahunan di Pakistan, penting untuk pertanian tetapi sering mengundang kemusnahan.-AFP