GENEVA, 11 Ogos - Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengecam pembunuhan enam wartawan di Gaza oleh Israel yang disifatkan sebagai “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.
Agensi itu dalam kenyataan di platform X berkata, tentera Israel menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan lima petugas stesen penyiaran Qatar, Al Jazeera.
Seorang jurugambar bebas turut terbunuh dalam serangan pada Ahad, yang diakui Israel sebagai operasi terancang.
“Israel mesti menghormati dan melindungi semua orang awam, termasuk wartawan,” kata pejabat itu sambil memaklumkan sekurang-kurangnya 242 wartawan Palestin terbunuh di Gaza sejak perang tercetus pada Oktober 2023.
Agensi itu turut menggesa agar semua wartawan diberikan akses segera, selamat dan tanpa halangan ke Gaza.
Tentera Israel mengesahkan pihaknya menyasarkan wartawan terkenal, Anas al-Sharif, yang didakwa sebagai “pengganas” dan mempunyai kaitan dengan Hamas, selain menuduhnya “menyamar sebagai wartawan”.
Pertubuhan media antarabangsa, Reporters Without Borders (RSF), berkata pihaknya “sangat mengecam dan marah” terhadap pembunuhan yang diakui tentera Israel terhadap al-Sharif dan wartawan lain.-AFP