fb fb fb fb fb

Enam wartawan maut dalam serangan Israel di Gaza

Foto- AFP

GAZA, 11 Ogos - Serangan udara Israel yang menyasarkan kru Al Jazeera di Gaza turut meragut nyawa seorang jurugambar bebas Palestin, menjadikan jumlah wartawan terkorban meningkat kepada enam orang.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata jurugambar foto Mohammed al-Khaldi meninggal dunia pada Isnin akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan udara di hadapan Hospital al-Shifa, Gaza City, pada Ahad. “Dengan kematiannya, jumlah wartawan yang syahid meningkat kepada enam,” katanya kepada AFP.

Pengarah Hospital al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya, turut mengesahkan kematian al-Khaldi akibat kecederaan.

Stesen penyiaran Qatar, Al Jazeera, sebelum ini mengesahkan lima petugasnya terbunuh dalam serangan tersebut, termasuk wartawan terkenal Anas al-Sharif.

Tentera Israel mengesahkan pihaknya menyasarkan al-Sharif yang didakwa sebagai “pengganas” dan mempunyai kaitan dengan Hamas, selain menuduhnya “menyamar sebagai wartawan.”

Al-Khaldi merupakan jurugambar bebas yang sesekali bekerja dengan media tempatan.

Menurut Organisasi Reporters Without Borders, hampir 200 wartawan terbunuh sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN