fb fb fb fb fb

Trump, Harris setuju adakan debat di ABC

Donald Trump / Foto Reuters

DETROIT, 9 Ogos - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Naib Presiden Kamala Harris bersetuju untuk mengadakan debat pada 10 September di rangkaian ABC.

Trump, calon Presiden dari Parti Republikan, manakala Harris, calon dari Parti Demokrat mengesahkan penyertaan mereka dalam debat itu.

Debat selama 90 minit itu dijangka berlangsung di Philadelphia sementara penyampai berita ABC, David Muir dan Linsey Davis akan bertindak selaku moderator.

Pengumuman tersebut dibuat selepas sidang media Trump di Palm Beach, Florida dengan beliau mencadangkan tiga debat dengan Harris.

Debat itu berkemungkinan akan diadakan tanpa kehadiran penonton, namun format dan peraturan masih dalam perbincangan.

Trump sebelum ini bersetuju untuk berdebat dengan Presiden Joe Biden pada 10 September, namun Biden menarik diri daripada calon Demokrat.

Trump juga menyatakan bahawa beliau bersedia untuk berdebat dengan Harris pada dua acara lain, yang akan dihoskan oleh NBC News dan Fox News.

Bagaimanapun, Harris tidak bersetuju dengan debat-debat berkenaan, yang bukan sebahagian daripada jadual debat asal yang dipersetujui oleh Biden dan Trump pada Mei lalu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN