fb fb fb fb fb

Trump hantar 10 jet pejuang F-35 ke Puerto Rico, perangi kartel dadah

Jet pejuang F-35 milik Amerika Syarikat dihantar ke Puerto Rico sebagai sebahagian daripada operasi memerangi kartel dadah/ AFP

WASHINGTON, 6 September - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghantar 10 jet pejuang F-35 ke Puerto Rico sebagai sebahagian daripada operasi memerangi kartel dadah.

Jet tersebut akan bergabung dengan kapal perang AS yang sudah dikerahkan di selatan Caribbean ketika Trump meningkatkan tekanan terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang dituduh Washington mengetuai sebuah kartel dadah.

Ketegangan memuncak selepas Pentagon mendakwa dua pesawat tentera Venezuela terbang berhampiran kapal Tentera Laut AS di perairan antarabangsa pada Khamis yang disifatkan sebagai 'provokatif'.

Pada Selasa, pasukan AS memusnahkan sebuah bot yang didakwa membawa dadah di Caribbean, yang menurut Trump milik kumpulan jenayah Venezuela, Tren de Aragua, yang dikaitkan dengan Maduro. Serangan itu mengorbankan 11 individu.

Jet pejuang berteknologi tinggi F-35 itu ditempatkan di sebuah pangkalan udara di Puerto Rico, wilayah Caribbean milik AS yang mempunyai lebih tiga juta penduduk, kata sumber tersebut yang enggan dikenali.

Maduro - pemimpin berhaluan kiri yang kemenangannya pada pilihan raya 2024 dianggap tidak sah oleh Washington- mengecam penempatan ketenteraan AS dan menyifatkan ia sebagai "ancaman terbesar yang dihadapi benua kita dalam 100 tahun terakhir”.

Beliau menegaskan negaranya bersedia untuk "perjuangan bersenjata bagi mempertahankan wilayah negara", dan telah menggerakkan kira-kira 340,000 anggota tentera serta mendakwa memiliki lebih lapan juta anggota simpanan.

"Jika Venezuela diserang, kami akan segera memasuki fasa perjuangan bersenjata," katanya kepada wartawan asing.

Sementara itu, Timbalan Ketua Staf White House, Stephen Miller, menyifatkan Maduro sebagai 'penjenayah dadah yang didakwa' dan mendakwa Venezuela kini dikawal oleh 'kartel dadah'.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI