fb fb fb fb fb

Renangan Barbara Hernandez sekali lagi diiktiraf Guinness World Records

Barbara Hernandez/ REUTERS

PUERTO NATALES, 30 Ogos – Perenang Chile Barbara Hernandez, sekali lagi mencatat sejarah baharu apabila berjaya menamatkan renangan ais terjauh oleh perenang wanita sejauh 3.84 kilometer di Canal Senoret, di sini, sekali gus diiktiraf Guinness World Records pada Sabtu.

Perkara itu disahkan Persatuan Renang Ais Antarabangsa, menurut laman rasmi Guinness World Records.

Renangan perenang yang diberi jolokan 'Ice Mermaid' atau Duyung Ais itu disokong Tentera Laut Chile dan pihak berkuasa pelabuhan Puerto Natales.

Renangan bermula pada pukul 9.44 pagi dan berakhir pada 10.50 pagi waktu tempatan.

Tanpa memakai pakaian selam atau menggunakan lapisan pelindung, Hernandez menamatkan renangan sejauh 3.84 kilometer itu dalam tempoh 1 jam 6 minit 15 saat pada suhu air purata 4.53°C.

Keputusan itu mengatasi rekod terdahulu yang dibuat oleh Izabela Babica dari Poland pada Mac lalu di Tasik Strzeszynskie dengan catatan 3.54 kilometer.

Selain rekod terbaharu ini, Hernandez turut memegang beberapa rekod dunia lain, termasuk renangan ais paling jauh oleh perenang wanita dengan jarak 2.5 kilometer di Chile Bay pada 2023 dan renangan terpantas sejauh satu batu merentasi Drake Passage di Cape Horn pada 2022.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI