BRUSSELS, 6 September - Kesatuan Eropah (EU) mengenakan denda antitrust ke atas Alphabet Inc. melalui anak syarikatnya Google sebanyak 2.95 bilion euro (AS$3.45 bilion) pada Jumaat susulan amalan antipersaingan dalam perniagaan teknologi pengiklanan (adtech).
Ia merupakan penalti keempat terhadap Google dalam tempoh sedekad pertelagahan dengan pengawal selia EU.
Tindakan Suruhanjaya Eropah itu berpunca daripada aduan Majlis Penerbit Eropah dan berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengugut untuk mengambil tindakan balas terhadap EU jika terus menekan syarikat teknologi besar.
Pada awalnya, denda dijadual diumumkan pada Isnin lalu namun ditangguhkan berikutan kebimbangan Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic terhadap kesan tarif AS ke atas kereta buatan Eropah.
Menurut Suruhanjaya, Google didapati memihak kepada perkhidmatan teknologi paparan dalam talian miliknya sehingga menjejaskan pesaing dan penerbit dalam talian, serta menyalahgunakan kuasa pasaran sejak 2014 hingga kini.
Google diarahkan menghentikan amalan tersebut serta mengambil langkah bagi menghapuskan konflik kepentingan. Syarikat itu diberi tempoh 60 hari untuk memaklumkan kepada suruhanjaya tentang pelan pematuhan.
Suruhanjaya menegaskan pandangan awal bahawa Google wajar melepaskan sebahagian perkhidmatannya, namun akan menunggu dan menilai pelan pematuhan yang dikemukakan.
"Google kini perlu tampil dengan langkah serius untuk menangani konflik kepentingannya. Jika gagal, kami tidak teragak-agak mengenakan tindakan lebih tegas," kata Pesuruhjaya Antitrust EU, Teresa Ribera.
Google bagaimanapun membantah keputusan EU itu dan menyatakan akan mengemukakan rayuan.
"Keputusan Suruhanjaya Eropah mengenai perkhidmatan adtech kami adalah salah dan kami akan membuat rayuan. Ia mengenakan denda tidak wajar serta memaksa perubahan yang akan menjejaskan ribuan perniagaan Eropah," kata Naib Presiden dan Ketua Hal Ehwal Peraturan Global Google, Lee-Anne Mulholland.
Google pernah didenda pada 2017 sebanyak 2.42 bilion euro, 2018 (4.3 bilion euro) dan 2019 (1.49 bilion euro).- REUTERS