NEW YORK, 6 September – Gabenor New York, Kathy Hochul menandatangani satu perintah eksekutif pada Jumaat bagi menangani dasar baharu persekutuan yang mengehadkan akses kepada vaksin COVID-19 untuk keluarga.
"Saya tidak boleh berdiam diri apabila pentadbiran Trump mengabaikan sains dan kesihatan serta membuat keputusan yang akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan keluarga kita. Di New York, saya tidak akan membiarkan perkara ini berlaku," tegas Hochul.
Beliau menekankan bahawa jika ibu bapa mahu anak mereka menerima suntikan vaksin COVID-19, ia perlu mudah didapati dan dilindungi oleh insurans.
Dalam pengumuman di Long Island, Hochul memaklumkan perintah tersebut membenarkan ahli farmasi memberikan suntikan COVID-19 untuk tempoh 30 hari, dan boleh diperbaharui sehingga sesi Dewan Undangan Negeri bersidang semula.
Sebelum menandatangani perintah itu, Hochul turut mengisytiharkan bencana di New York susulan tindakan kerajaan persekutuan.
"Kita mahu semua tahu betapa seriusnya kita menangani isu ini. Saya mahu pastikan status quo dikekalkan di New York supaya rakyat boleh mendapatkan suntikan di farmasi tanpa perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan preskripsi," katanya.- REUTERS