WASHINGTON, 13 September - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menggesa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menghentikan sepenuhnya pembelian minyak dari Rusia sebelum Washington mengenakan sekatan terhadap Moscow.
Trump dalam catatan di platform Truth Social yang digambarkan sebagai surat kepada semua negara NATO dan dunia berkata, beliau bersedia menjatuhkan sekatan besar terhadap Rusia, namun dengan syarat semua anggota NATO turut mengambil langkah sama.
“Saya bersedia melakukan sekatan besar ke atas Rusia apabila semua negara NATO bersetuju dan mula berbuat demikian, serta apabila semua negara NATO menghentikan pembelian minyak daripada Rusia,” katanya.
Trump turut mencadangkan NATO mengenakan tarif antara 50 hingga 100 peratus terhadap China sebagai cara menamatkan perang Rusia-Ukraine.
Beliau menyifatkan pembelian minyak Rusia oleh negara anggota NATO sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana melemahkan kuasa rundingan blok itu terhadap Moscow.
Trump menambah gabungan sekatan bersama NATO dan tarif ke atas China akan memberi tekanan besar sekali gus membantu mempercepatkan pengakhiran perang.
“China mempunyai pengaruh kuat terhadap Rusia, dan tarif tersebut akan memutuskan pengaruh itu,” katanya.
Menurut beliau, perang di Ukraine boleh berakhir dengan segera sekiranya kesemua 32 anggota NATO bersetuju melaksanakan cadangan itu.
Trump juga memberi amaran, sekiranya negara anggota NATO tidak menurut syaratnya, tindakan tersebut hanya membuang masa.- AFP