fb fb fb fb fb

Sekolah UNRWA di bandar Gaza musnah dalam serangan Israel

Serangan udara Israel memusnahkan sekolah UNRWA di Bandar Gaza yang digunakan sebagai pusat perlindungan penduduk Palestin berpindah, menyebabkan ratusan mangsa hilang tempat berteduh. Foto- REUTERS

GAZA, 13 September - Penduduk Palestin di Bandar Gaza sekali lagi kehilangan tempat berlindung apabila sebuah sekolah di bawah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) musnah dalam serangan udara Israel pada Sabtu.

Sekolah berkenaan yang menempatkan ratusan penduduk Palestin berpindah runtuh selepas dibedil, menyebabkan ramai kehilangan barangan dan tempat berteduh.

Penduduk berkata mereka diberi amaran untuk berpindah lebih awal, namun tidak mempunyai pilihan lain selain kembali semula ke bangunan rosak kerana ketiadaan pusat perlindungan lain.

“Ramai keluarga kini tidak tahu ke mana harus pergi. Kami sudah kehilangan rumah, dan kini sekolah yang menjadi tempat berteduh juga musnah,” kata seorang penduduk Gaza.

Serangan itu adalah sebahagian daripada siri serangan udara yang menyasarkan tiga sekolah UNRWA di Bandar Gaza minggu ini, sekali gus memburukkan lagi penderitaan orang awam yang enggan meninggalkan kediaman mereka.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 64,000 orang, kebanyakannya awam, telah terbunuh sejak serangan ketenteraan Israel bermula hampir dua tahun lalu.

Ratusan ribu penduduk kini hidup dalam kelaparan dan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing, selain terpaksa berlindung di bangunan rosak dan kemudahan awam yang sesak.

Pasukan Pertahanan Awam Gaza menegaskan serangan ke atas kawasan kediaman dan sekolah adalah sebahagian daripada usaha sistematik Israel untuk memaksa penduduk Palestin berpindah tanpa menghiraukan risiko nyawa dan keadaan kemanusiaan yang semakin parah.- REUTERS

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN