fb fb fb fb fb

Gelombang kebangkitan sayap kanan gegar London

Aktivis sayap kanan Britain, Tommy Robinson, berarak bersama penyokong yang mengibarkan bendera Union Jack dalam perhimpunan ‘Free Speech’ di pusat bandar London. Foto- AFP

LONDON, 13 September - Lebih 100,000 orang berhimpun di pusat bandar London dalam perarakan dan perhimpunan yang dianjurkan aktivis sayap kanan, Tommy Robinson.

Polis United Kingdom menganggarkan seramai 110,000 orang hadir, dengan rakaman CCTV dan imej helikopter digunakan bagi membuat anggaran.

Peserta perhimpunan yang membawa bendera England dan Britain berarak menyeberangi Jambatan Westminster sebelum berhimpun berhampiran Downing Street untuk mendengar ucapan tokoh sayap kanan dari Eropah dan Amerika Utara.

Tommy Robinson dalam ucapannya berkata, “majoriti senyap tidak akan berdiam diri lagi” sambil menyifatkan perhimpunan itu sebagai permulaan revolusi budaya.

Pada masa sama, sekitar 5,000 orang menyertai protes balas anjuran Stand Up to Racism kira-kira satu batu dari lokasi utama.

Polis mengerahkan 1,000 anggota bagi mengelak pertembungan antara kedua-dua kumpulan.

Demonstrasi itu berlangsung ketika sentimen anti-imigresen semakin meningkat di Britain, dengan parti Reform UK pimpinan Nigel Farage kini mendahului tinjauan pendapat.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN