fb fb fb fb fb

Pendakwa raya Turkiye arah tangkap puluhan pegawai CHP di Istanbul

Penyokong Parti Rakyat Republikan berhimpun di Kadikoy menyatakan solidariti kepada Datuk Bandar Istanbul yang dipenjara, Ekrem Imamoglu. Foto- AFP

ANKARA, 13 September - Pendakwa raya di Istanbul mengarahkan penahanan puluhan pegawai bandar di sebuah daerah yang dikuasai pembangkang, sekali gus menjadi tamparan terbaharu kepada Parti Rakyat Republikan (CHP).

Pihak berkuasa melancarkan beberapa siasatan terhadap CHP sepanjang tahun lalu, yang menurut parti itu merupakan kempen terancang kerajaan untuk melemahkan satu-satunya parti yang mampu menewaskan parti pemerintah melalui pilihan raya.

Dalam tempoh setahun, semakin ramai pegawai CHP yang dipilih rakyat ditahan atas dakwaan berkaitan keganasan atau rasuah, termasuk Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang penahanannya mencetuskan protes jalanan terbesar di Turkiye dalam tempoh sedekad.

Menurut agensi berita Anadolu, seramai 48 ahli majlis daerah di Bayrampasa, sebuah daerah Istanbul yang dimenangi CHP dalam pilihan raya lalu, diarahkan ditahan atas tuduhan rasuah.

Datuk Bandar Bayrampasa, Hasan Mutlu, serta timbalannya, Lutfi Kadiogullari, turut ditahan awal pagi Sabtu atas tuduhan “pemerasan, rasuah, penipuan berat dan manipulasi tender”, manakala pihak berkuasa dilaporkan menggeledah pejabat dewan bandar, menurut saluran televisyen swasta NTV.

Ketua CHP di Istanbul, Ozgur Celik, dalam catatan di platform X menegaskan: “Rakyat Bayrampasa memilih Hasan Mutlu. Tetapi mereka tidak menghormatinya. Mereka tidak menghormati keputusan pilihan raya, peti undi mahupun kehendak rakyat.”

Celik sendiri sebelum ini digugurkan oleh mahkamah Turkiye pada 2 September sebagai sebahagian daripada kes berhubung dakwaan penyelewengan dalam kongres 2023 yang menyaksikan beliau dipilih.

Isnin ini, sebuah mahkamah di Ankara dijadualkan mengadakan perbicaraan yang boleh membatalkan keputusan kongres CHP 2023 atas alasan penipuan serta menggulingkan pemimpin nasional parti itu, Ozgur Ozel.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN