fb fb fb fb fb

Iraq tandatangani perjanjian pelaburan AS$1 bilion dengan IFC Bank Dunia

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani. Foto- AFP

BAGHDAD, 13 September - Iraq menandatangani perjanjian pelaburan bernilai AS$1 bilion dengan Korporat Kewangan Antarabangsa (IFC), iaitu cabang sektor swasta Bank Dunia, melibatkan sektor tenaga, pertanian dan kewangan.

Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani, mengumumkan kontrak baharu itu pada majlis khas bersempena ulang tahun ke-20 kehadiran IFC di Iraq.

Dalam kenyataan, IFC memaklumkan bahawa perjanjian tersebut merangkumi pelaburan dan penglibatan baharu berjumlah AS$1 bilion dalam sektor tenaga, infrastruktur, agroindustri dan kewangan.

Al-Sudani menegaskan, “Menarik modal asing telah menyumbang kepada menyokong kestabilan ekonomi Iraq.”

Pejabat media perdana menteri menjelaskan perjanjian itu termasuk kontrak bernilai AS$500 juta untuk pelaburan dalam gas bersekutu, iaitu gas lebihan yang terhasil semasa penggerudian minyak serta pembangunan kemudahan gas di wilayah Basra.

Iraq yang kaya dengan minyak sedang berusaha keluar daripada dekad peperangan dan ketidakstabilan, namun masih berdepan infrastruktur daif, perkhidmatan awam yang gagal, salah urus serta rasuah berleluasa.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan ekonomi bukan minyak di Iraq kekal perlahan, dibatasi produktiviti rendah, pelaburan terhad dan penggunaan modal insan yang tidak efisien.

Dalam ucapannya, al-Sudani turut memuji sektor swasta Iraq kerana berjaya melaksanakan projek walaupun berdepan birokrasi, rasuah dan cabaran keselamatan.

Sejak 2005, IFC yang berpangkalan di Washington dilaporkan telah melabur dan menggerakkan lebih AS$2.5 bilion untuk projek di Iraq, termasuk pada era perang selepas pencerobohan dipimpin Amerika Syarikat.- AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN